Tuesday, March 17, 2009

EPF DIVIDEND RATE FOR 2008 : 4.5%

KWSP Isytihar Dividen 4.50% Bagi 2008

Catat Pendapatan Kasar Tertinggi RM20 bilion di Sebalik Krisis Kewangan

Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini dengan kelulusan Menteri Kewangan mengisytiharkan kadar dividen 4.50 peratus bagi tahun 2008. Kadar dividen yang lebih rendah berbanding 2007 disebabkan peningkatan peruntukan rosot nilai pelaburan kesan penurunan mendadak harga pasaran ekuiti global yang dicetuskan oleh krisis kewangan dunia.

Di sebalik krisis kewangan itu, KWSP mencatatkan pendapatan kasar tertinggi pernah dicapai sebanyak RM20 bilion pada tahun 2008, meningkat 9.36 peratus berbanding pendapatan kasar tahun sebelumnya sebanyak RM18.29 bilion.

read more here

Q & A KADAR DIVIDEN 2008

1. Mengapa kadar dividen KWSP lebih rendah untuk tahun 2008 berbanding 2007?
Lembaga KWSP telah mengisytiharkan kadar dividen 4.5 peratus bagi tahun 2008. Kadar dividen ini adalah lebih rendah berbanding 2007 berikutan peningkatan peruntukan rosot nilai pelaburan kesan daripada penurunan mendadak harga pasaran ekuiti global akibat krisis kewangan dunia.
Walaupun KWSP memperoleh pendapatan kasar tertinggi pernah dicapai pada tahun 2008, KWSP perlu menyediakan peruntukan rosot nilai ekuiti sebanyak RM4.69 bilion berikutan penurunan menjunam harga pasaran ekuiti yang dicetuskan oleh krisis kewangan global. Peruntukan ini telah mengurangkan dengan ketara pendapatan bersih KWSP. Bagaimanapun, peruntukan ini masih tidak nyata kerana KWSP belum menjual saham-saham tersebut. Apabila pasaran ekuiti pulih nanti, peruntukan ini akan dimasukkan semula ke dalam akaun KWSP.
Bagaimanapun, kadar dividen KWSP adalah lebih baik berbanding kadar simpanan tetap yang ditawarkan oleh bank-bank Malaysia. Sebagai contoh, kadar simpanan tetap semasa bank-bank Malaysia bagi 12 bulan adalah sebanyak 2.50 peratus.
Selain itu, jumlah yang perlu dibayar kepada ahli bagi satu peratus dividen juga turut meningkat bagi 2008. Pada 2008, KWSP perlu membayar RM3.18 bilion bagi satu peratus dividen berbanding hanya RM2.89 bilion pada 2007.

2. Kenapa peruntukan rosot nilai untuk tahun 2008 lebih besar berbanding 2008?
Peruntukan rosot nilai ekuti bagi 2008 ialah RM4.69 bilion. Daripada jumlah tersebut, 3.2 bilion diperuntukkan untuk ekuiti luar negara. Peruntukan ini adalah jauh lebih tinggi daripada peruntukan rosot nilai ekuti bagi 2007 yang hanya berjumlah RM0.52 bilion. Peruntukan ini dibuat kesan daripada penurunan ketara dalam pasaran ekuiti terutamanya pada suku tahun keempat 2008. Bagaimanapun, KWSP yakin bahawa peruntukan ini akan dimasukkan semula ke dalam akaun KWSP apabila pasaran ekuiti kembali pulih.
Walaupun peruntukan rosot nilai perlu dibuat, ekuiti kekal sebagai penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan kasar KWSP dengan memberikan pulangan sebanyak RM6.67 bilion pada 2008 berbanding RM5.37 bilion pada 2007.
Perlu juga ditekankan bahawa prestasi KWSP adalah lebih baik berbanding kebanyakan dana lain di seluruh dunia. Contohnya:
• Government Pension Fund Norway kerugian USD92 billion (RM340 bilion) daripada pelaburannya pada 2008 (BBC News, 11 Mac 2009).
• Temasek Holdings Singapura mengalami kerugian atas kertas sebanyak S$58 bilion (RM140 bilion) hanya dalam tempoh lapan bulan (BT Singapura, 11 Feb 2009).
• Government of Singapore Investment Corporation Private Limited (GIC) mengalami kejatuhan nilai aset sebanyak 25 peratus daripada tahap tertingginya.
• California Public Employees’ Retirement System (CalPERS) mengalami kerugian sebanyak USD68 bilion (RM248.2 bilion) dalam asetnya sejak Oktober 2007 dan jatuh 41 peratus dalam portfolio sahamnya (Bloomberg, 26 Feb 2009).
• Khazanah Nasional Bhd mengalami kerugian satu perlima daripada portfolio pelaburannya. Nilai aset boleh direalisasikan (RAV) berjumlah RM88.2 bilion setakat 31 Mei turut merosot kepada RM70.4 bilion pada akhir 2008 (BT, 20 Jan 2009).

3. Apakah ramalan KWSP untuk tahun ini?
KWSP bersedia menghadapi tahun 2009 yang lebih sukar kesan daripada krisis kewangan global yang terus dirasai. Kami menjangkakan tahun 2009 akan menjadi tahun yang amat mencabar. Sehubungan itu, kadar dividen bagi 2009 juga dijangka tidak akan lebih tinggi berbanding 2008.

4. Bagaimana KWSP boleh mengisytiharkan dividen 8 peratus pada tahun 80-an?
Sekitar tahun 80-an, pelaburan KWSP sebahagian besarnya tertumpu dalam pelaburan berteraskan faedah seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM). Pada ketika itu, rejim kadar faedah adalah tinggi dengan Kadar Pinjaman Asas (BLR) mencecah 12.25 peratus pada 1984 berbanding kadar BLR pada masa kini yang ketara lebih rendah. Sebagai contoh, kadar semasa simpanan tetap 12 bulan yang ditawarkan Maybank setakat Mac 2009 adalah sebanyak 2.5 peratus sahaja.
Dalam hubungan ini, pelaburan dalam SKM semasa era tersebut mampu menjana pulangan yang tinggi untuk KWSP, sekaligus membolehkan KWSP mengisytiharkan kadar dividennya yang tertinggi. Bagaimanapun, rejim kadar faedah yang tinggi juga bermakna kos pinjaman perumahan dan sewa beli adalah lebih tinggi berbanding sekarang.

5. Adakah simpanan saya dalam KWSP selamat?
Simpanan anda di KWSP adalah selamat. Sebagai sebuah dana persaraan, kami sentiasa mengekalkan polisi pelaburan yang berhemah dan berisiko rendah yang turut disokong oleh penyelidikan yang menyeluruh selaras dengan amalan terbaik pelaburan.
Simpanan KWSP juga dijamin akan menerima dividen tidak kurang daripada 2.5 peratus seperti dinyatakan dalam Akta KWSP 1991.

6. Kenapa tabung simpanan lain di Malaysia mampu memberikan dividen yang lebih tinggi daripada KWSP?
Setiap tabung simpanan mempunyai objektif dan strategi pelaburan yang berbeza. Begitu juga KWSP. Sebagai sebuah tabung persaraan, KWSP sentiasa berhati-hati dalam pelaburannya. Pelaburan dibuat secara berhemah dan tidak mendedahkan pelaburan ahli dalam pelaburan berisiko tinggi.
Tabung-tabung simpanan lain juga mempunyai saiz dana yang lebih kecil berbanding KWSP yang mempunyai saiz dana sebanyak RM340 bilion. Dana yang kecil lebih mudah diuruskan terutamanya dari aspek pergerakan peruntukan aset dan penjualan saham.

No comments: